KUALA LUMPUR, 10 Jan — Selepas gempar seluruh negara dengan pengiklanan luar biasa produk-produknya Pamoga dan Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bakal tampil dengan filem sulungnya hujung tahun ini.
Menerusi Datuk Seri Vida Production, jutawan kosmetik itu akan menerbitkan filem “Cikgu Online” bagi menyaingi kejayaan filem “Polis Evo”, yang berjaya mengutip kira-kira RM17.5 juta.
“Saya pernah terlibat dengan Mamat Khalid terbitkan ‘Zombi Kilang Biskut’. Saya beri dana. Drama banyak juga beri dana.
“Tetapi sekarang saya punya penerbitan sendiri. Saya akan bermesyuarat dengan Ghaz Abu Bakar, pengarah ‘Polis Evo’. Saya ada keyakinan boleh kalahkan ‘Polis Evo’,” katanya kepada ProjekMMO kelmarin.
“Zombi Kilang Biskut”, yang ditayangkan pada 2014, meraih kutipan RM1.1 juta.
Hasmiza, yang mesra dengan panggilan Dr Vida, berkata filem sulungnya mengisahkan tentang seorang guru yang mendapat inspirasi untuk berniaga secara atas talian.
Filem yang turut menampilkan beliau sendiri bersama keluaran-keluaran kosmetik dan kesihatannya sudah mempunyai jalan ceritanya.
“[Ia] berkait dengan produk saya juga. Ceritanya tauke jamu dan cikgu online tengok orang jual tudung dan mahu membuka perniagaan sendiri.
“Saya suka Shahnaz Ahmad, Aaron Aziz dan Zul Ariffin tetapi ramai pilih Aaron. Heroin belum ada tapi yang pasti saya berlakon dalam filem itu. Saya nak promosikan produk saya.
“Saya suka lawak spontan. Saya tidak mahu pelawak buat lawak. Saya mahu orang biasa, spontan daripada skrip,” katanya.
Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd juga diminta mengulas tentang pihak yang lantang mengkritik konsep pengiklanannya.
Datuk Seri Dr Hasmiza Othman pada asalnya enggan muncul sebagai tukang promosi produk-produknya sendiri tetapi ramai yang menolak. Akhirnya beliau sendiri tampil aktif di televisyen. — Foto oleh Choo Choy May
Melalui program-program tajaannya di TV3 dan saluran Astro, beliau tampil mengiklan produk-produknya, termasuk slogan “Qu Puteh, Qu Puteh, barulah putih”, sehingga menjadi perbualan ramai.
Katanya, sesebuah kempen pengiklanan itu perlu menghasilkan dampak luar biasa agar berbaloi dengan modal dikeluarkan.
“Saya sebenarnya tidak mahu muncul. Saya lebih suka duduk belakang tabir saja. Saya suruh pelakon jadi duta, supaya saya boleh tumpukan dengan Pamoga.
“Saya tekan dia tapi tidak mahu jadi. Mereka tidak tahu, mereka dibayar. Saya suruh anak saudara turun ke depan, semua [produk] tidak ada orang hendak [iklankan].
“Sehingga saya sendiri yang kena. Kita tahu tanggungan kita, kita belanja berapa. Kalau tidak buat bersungguh-sungguh, kita akan rugi. Rupanya produk itu kena ada identitinya,” kata Dr Vida.
Ditanya tentang rahsia kejayaannya dalam perniagaan, beliau berkata seseorang usahawan tidak harus kenal erti putus asa. Katanya, kegagalan pula petanda seseorang itu akan mengecapi kejayaan kemudian.
“Jangan mudah mengalah. Jangan terlalu harapkan bantuan; ini harapkan bantuan [kerajaan], baru hendak bergerak, rugi masa. Gunakan apa yang kita ada.
“Siapa yang pernah gagal tanda-tanda dia akan berjaya sebab saya dulu berapa kali gagal,” katanya.
Hasmiza, 43, berkata doa merupakan medium terpenting dalam memastikan kejayaan usaha yang dijalankan. Doa itu harus khusus dan untuk kesejahteraan manusia teramai.
“Kita kalau berdoa hendaklah penuh, panjang lebar. Saya pernah berdoa sekali pendek, dapat pendeklah.
“Saya cakap [pada diri sendiri] ‘tidak apa, Tuhan tidak mahu beri saya rezeki senang macam ini’, kena usaha, ada jalan.
“Kalau saya dapat duit keuntungan daripada pelaburan emas dahulu, saya akan goyang kaki, tidak mahu kerja. Makanya, kena berjuang lagi. Itulah cabaran saya,” katanya.