[x]

11 Jan 2016

'87% Mahasiswa Berkurung Dalam Bilik, Ikat Perut & Makan Maggi'



Ada sesetengah pihak memandang sebelah mata isu mahasiswa tak makan. Ada pula yang menilai dengan sebelah mata sahaja, kemudian membuat idikator sendiri taraf kemampuan mahasiswa hanya berdasarkan mata kasar seperti jenama telefon pintar, ramai yang makan KFC, ada yang pergi tengok wayang, boleh langgan data plan dan sebagainya. Seolah-olah mahasiswa lapar itu hanya retorik, bukan realiti.

Kita lihat sedikit figur yang ada. Jumlah enrolmen pelajar di IPT seluruh Malaysia sekitar 1,156,293 orang (data 2014, tahun 2014-2015 saya tak jumpa. Maknanya mahasiswa ada hampir 1.15 juta di seluruh negara.

Katakanlah yang tuan-tuan, puan-puan nampak mahasiswa berjoli sana sini itu kita rangkumkan sekitar 150,000 orang. Itu baru 12.97%. Lagi 87.03% pula nak dicampak di mana? Nak hukum 87% itu suka berjoli juga?

Asyik ternampak mahasiswa/mahasiswi pergi berdating, makan di Seoul Garden dan shopping mewah? Tak pernah nampak yang tidak berkemampuan ini? Memanglah, yang 87% ini berkurung di dalam bilik mengikat perut dan makan maggi. Orang awam tak akan nampak benda-benda ini.

Misalnya peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara puratanya mempunyai wang saku (hasil pinjaman) sebanyak RM250 sebulan, ada yang berkata mahasiswa ini boros, tidak pandai menguruskan kewangan dan suka berjoli. Saya rasa itu adalah fitnah terbesar masyarakat terhadap mahasiswa. Yang dilihatnya adalah sebahagian kecil mahasiswa yang datang dari keluarga berkemampuan lalu tempiasnya terkena pada mahasiswa dari golongan sederhana dan miskin.

Secara ringkasnya, perbelanjaan mahasiswa begini (berdasarkan mahasiswa marhaen seperti saya yang datang dari keluarga sederhana):

Makan dua kali sehari, tengah hari dan malam RM10 x 30 hari = RM300.
Belanja fotokopi sekitar RM10 sebulan
Belanja Top Up RM5 x 4 minggu = RM20
Perbelanjaan pengangkutan & pergerakan RM30 (Bas, teksi dll)
Barang-barang keperluan RM50

Jumlah keseluruhan sekitar RM410.

Masih defisit RM160. Bila ada defisit, lahirlah mahasiswa pengsan tak makan, gastrik, koyak usus dan sebagainya. Sesetengah orang, nilai RM160 itu sikit tetapi bagi kami nilainya amat besar.
Jangan pandang remeh pada orang lain yang tidak berkemampuan. Jangan ingat kita semua ada kemampuan yang sama. Jangan menghukum kami yang miskin kalau ternampak mahasiswa yang kaya berbelanja. Bertimbang rasalah.

Sepatutnya kita tidak bergelut dengan isu rakyat lapar ini. Selayaknya negara yang melaksanakan GST dan bakal menandatangani TPPA ini menjadi negara zon bebas lapar. - Hafiz Hafifi Hassan | Ditulis semula untuk siaran di THEHYPEMEDIA.COM

0 comments:

Post a Comment