[x]

3 Apr 2016

RAMAI BELUM TAHU AIR TERJUN PUTERI, TERSEMBUNYI DI PUCHONG



Dikenali sebagai Apip Embi di Facebook, pemuda ini aktif dengan aktiviti luar dan merupakan Bekas Presiden Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).

Apip Embi juga gemar berkongsi pengalaman beliau di fb dan blog peribadi beliau. Kami kongsikan semula perkongsian beliau dengan izin daripada penulis.



Jom ikuti perkongsian menarik air terjun indah yang tersembunyi di Puchong, Selangor.



Kita biasanya mencari kedamaian di air terjun. Penduduk Lembah Klang khususnya penggiat aktiviti rekreasi mempunyai senarai air terjun sekitar Lembah Klang. Dari Air Terjun Sofea Jane (Kemensah), air terjun sekitar Hulu Langat, air terjun sekitar Ulu Yam dan tak terkecuali Air Terjun Sungai Putih di Bukit Apek (Bukit Saga). Jangan terkejut di Puchong juga ada air terjun.

Hutan Simpan Ayer Hitam, di tengah-tengah kawasan pembangunan Lembah Klang. Bersempadan dengan Bandar Puteri Puchong,Taman Saujana Puchong, Taman Wawasan Puchong, Taman Lestari Puchong, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil. Tahun 2015 diviralkan dengan keindahan#BlueLagoon(boleh google imej Blue Lagoon Puchong).

Masih ada air terjun yang tersembunyi dari umum di hutan simpan ini yang juga dinamakan Hutan Kayu Kayan Negara. Pergilah ke hulu.

Hutan Simpan Ayer Hitam ini diurus secara bersama oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan UPM. Hutan ini dikira kawasan persendirian tapi trek di sini agak biasa digunakan oleh masyarakat setempat untuk tujuan rekreasi terutama masyarakat Tionghua. Permit masuk boleh dipohon melalui Pejabat Renjer UPM di Taman Saujana Puchong (Jalan S/P 10/13).



Memandangkan hutan simpan ini digunakan sebagai kawasan rekreasi, terlalu banyak rintis/trek. Ada lebih 30 simpang. Ada simpang empat, ada simpang tiga. Ada yang ke sini hanya untuk bersenam pada waktu pagi/petang. Cukup sekadar ada satu pusingan trek di dalam hutan ini. Ada pula pusingan trek yang lebih besar bagi yang lebih advance. Pintu rimba juga ada beberapa yang jelas antaranya di Taman Saujana Puchong dan Taman Wawasan Puchong.

Ada pelbagai tanda, takikan tiga di pokok, reben merah, hash tag, pathfinder mark, cat merah, cat kuning dan cat biru. Semua tanda ada tujuan dan melalui sebahagian hutan ini. Laluan ke air terjun ini juga banyak. Ikut dari mana anda berada di hutan ini. AWAS anda mungkin berpusing-pusing di kawasan hutan ini sekiranya tidak mahir atau tidak menggunakan jurupandu hutan (malim hutan).

Berpunca daripada beberapa alur air atau anak sungai dari bahagian Utara hutan ini membentuk sungai kecil yang kemudian yang jadi Air Terjun Puteri Sulong seterusnya Air Terjun Puteri Puchong (ada yang panggil Air Terjun Bukit Puchong/Puchong Hill Waterfall). Menghilir lagi terhasil pula Kolam Biru (Blue Lagoon). Mengalir keluar sungai ini di Puchong hingga ke Bandar Baru Bangi (Taman Tasik Sentosa) dengan air yang agak hitam.

Air Terjun Puteri ada 2 tingkat kolam. Kolam atas (di tengah) sedalam kira-kira 1.8 meter. Air yang biru dan dingin walaupun pada tengah hari yang panas. Kolam bawah hanya separas pingganG orang dewasa bagi yang paling dalam dan secetek paras betis bahagian cangkat.

Perjalanan paling ke air terjun ini 45 minit bagi yang dah biasa mendaki. Bukit setinggi 200 meter perlu didaki sebelum turun semula pada ketinggian yang hampir sama. Jarak 4 KM merintis hutan andai menggunakan pintu masuk Bandar Puteri Puchong. Bagi yang biasa masuk ke Blue Lagoonatau dari Taman Saujana Puchong hanya 2 KM dari Blue Lagoon.



PERINGATAN:
INGAT anda perlu mendaki bukit untuk tiba pergi dan pulang dari air terjun ini. Jangan ambil mudah.
JAGA KEBERSIHAN – kawasan ini turut dijaga dengan bersih oleh komuniti kaum Tionghua setempat

0 comments:

Post a Comment